Cara Mudah Atasi Masalah Sinki Tersumbat. Boleh cuba

0 Comments

“Aduh, sinki tersumbat pula pagi-pagi buta ni… Dah siap-siap barang nak masak, takkan nak panggil tukang paip pulak. Apa nak buat ni?”

Jangan risau sangat kalau sinki tersumbat kerana ia adalah perkara biasa. Mungkin ada cebisan sisa makanan, minyak, lemak atau rambut yang tersangkut di dalamnya. Sebelum mendapatkan penyelesaian pakar, mungkin anda boleh lakukan beberapa perkara asas yang mudah.

CARA MUDAH ATASI MASALAH SINKI TERSUMBAT. MEMANG BERKESAN!
Kebanyakan masalah sinki tersumbat tidaklah serius dan ia boleh diselesaikan dengan cepat dengan menggunakan hanya bahan yang tersedia di rumah.

Ini antara caranya.

1. GARAM KASAR
Pertama sekali, mungkin ini adalah kaedah yang paling senang sebab kebanyakan rumah tentu ada garam. Seeloknya guna garam kasar supaya lebih berkesan.

Caranya mudah sangat. Taburkan garam kasar ke dalam saluran sinki yang tersumbat itu. Kemudian, curahkan air panas ke dalam saluran tersebut. Sisa kotoran akan terlarut dan sinki akan lancar semula dalam sekelip mata!

Ingat, guna air panas, bukannya air yang mendidih ya. Takut rosak pula saluran sinki nanti.


2. SABUN PENCUCI PINGGAN MANGKUK

Cara seterusnya adalah menggunakan sabun pencuci pinggan mangkuk. Macam kami membekal bahan pencuci boleh lihat di shop kami. Anda perlukan beberapa sudu sabun pencuci pinggan mangkuk ini bersama air panas yang agak banyak, iaitu sekitar 2 liter. Kalau nak senang, boleh panaskan air dengan menggunakan periuk.

Sinki dapur selalunya mudah terlekat dengan minyak dan gris akibat sisa makanan. Sabun pencuci ini boleh membantu melarutkan sisa-sisa minyak dan makanan ini.

<3. BAKING SODA & CUKA
Cara yang seterusnya adalah menggunakan baking soda dan cuka. Campurkan lebih kurang 1/3 cawan baking soda dengan 1/3 cawan cuka di dalam sebuah bekas. Sebaik saja campuran ini akan berbuih, cepat-cepat tuangkan ke dalam saluran sinki tersumbat tadi. Biarkan sekejap, sekitar 10 minit, untuk tindakbalas yang lebih menyeluruh. Kemudian, bilas dengan air panas macam cara di atas.

Seperti yang kita tahu, kedua-dua bahan ini memang sangat berguna bukan saja untuk memasak, tetapi juga untuk tujuan mencuci. Jadi, kalau belum ada 2 bahan ini, bolehlah beli dan simpan stok di rumah. Memang memudahkan!

sinki-tersumbat-1

4. GARAM & BAKING SODA
Formula seterusnya adalah menggunakan garam dan baking soda. Lebih kurang sama saja dengan cara di atas, iaitu ambil 1/4 cawan baking soda, 1/4 cawan garam dan tuangkan ke dalam lubang sinki tersumbat tadi.

Nak lagi berkesan, tambah 1/2 cawan cuka atau air lemon. Bau busuk pun hilang!

5. GUNA PAM ATAU PELOCOK
Salah satu cara paling klasik untuk membaiki sinki tersumbat adalah dengan menggunakan pam atau pelocok.

Tapi, nak pam pun ada caranya. Cara paling berkesan adalah dengan menekankan pelocok pada saluran tersumbat tadi di dalam sinki yang berisi air. Ini kerana terdapat tekanan daripada air yang membantu menarik cebisan-cebisan halus dalam saluran tersebut.

6. GUNA DAWAI / DRAIN SNAKE
Dulu-dulu orang guna penyangkut baju besi saja untuk korek dalam saluran sinki tersumbat. Kalau anda nak cuba cara yang lebih mudah, guna drain snake. Alatan ini kelihatan seperti tali yang diperbuat daripada logam atau plastik. Boleh beli di kedai DIY atau sesetengah kedai RM2, nak order dari Lazada pun ada.

Untuk menggunakannya, masukkan saja satu hujung ke dalam saluran sinki. Apabila ada rasa tersangkut, pusingkan beberapa kali supaya benda yang tersumbat dapat berkumpul. Kemudian, tarik perlahan-lahan. Lepas itu, bilaskan dengan air panas. Kalau masih tersumbat, boleh cuba lagi beberapa kali.

7. BUKA PERANGKAP
Salah satu tempat yang perlu diperiksa apabila sinki tersumbat adalah perangkap. Boleh tengok di bawah sinki, ada perangkap berbentuk S, P atau perangkap botol yang lebih mudah ditanggalkan. Sediakan sebuah baldi di bawah sinki terlebih dahulu sebelum anda membukanya.

Buka perangkap ini dan gunakan dawai besi untuk menolak keluar sebarang sisa yang tersangkut. Cuci perangkap ini menggunakan berus gigi terpakai. Kemudian, bilas dengan air seperti biasa.

Foto Kredit: lowes.com

CUCI SEBULAN SEKALI
Untuk mengelakkan masalah berulang, lakukanlah salah satu daripada cara di atas dengan kerap, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Selain itu, elakkan membuang sisa minyak atau makanan ke dalam sinki kerana ia boleh terperangkap dan membuat sinki lebih mudah tersumbat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *