PASAR TAMAN JOHOR JAYA DITUTUP SEMINGGU, 9 KES POSITIF DIKESAN

JOHOR BAHRU – Pasar Taman Johor Jaya, di sini diarahkan tutup serta-merta ekoran terdapat beberapa kes positif COVID-19 yang dikesan melibatkan premis berkenaan baru-baru ini.

Arahan penutupan selama seminggu bermula hari ini hingga 7 September itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Ahli Majlis MBJB Zon Johor Jaya, Chan San San berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya sembilan individu dilaporkan positif COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Kesemua sembilan individu berkenaan telah diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin di rumah.

“Kerja sanitasi telah dilakukan di sekitar pasar ini namun esok hari, MBJB akan melakukan kerja-kerja sanitasi di kawasan ini lagi sekali,” katanya ketika melawat pasar berkenaan, hari ini.

Orang ramai yang pernah mengunjungi pasar tersebut dalam tempoh beberapa hari lalu dinasihati untuk melakukan ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri di rumah.

“Sekiranya mereka menunjukkan simptom atau mempunyai masalah kesihatan, sila dapatkan rawatan dengan segera,” katanya sambil meminta para peniaga yang sebelum ini beroperasi di luar premis tersebut turut menghentikan operasi mereka buat sementara waktu.- VOICE

By ikleens

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enable Notifications    OK No thanks